Thursday, August 12, 2010

Kerja vs Kerjaya

Masih ramai yang kabur dengan definisi ‘kerjaya’ dalam hidupnya. Sudah tentu semua orang tahu apa itu kerja, tetapi ramai tersalah anggap yang ‘kerjaya’ itu semata-mata lanjutan daripada kerja.

Iaitu bermula daripada satu kerja atau tanggungjawab, naik pangkat, naik pangkat lagi dan seterusnya sehingga menjadi Bos. Apabila tidak memahami perbezaan antara kerja dan kerjaya, ramai daripada kita yang hanya buat kerja, pergi ke pejabat semata-mata kerana mengharapkan gaji hujung bulan atau bonus dan sebagainya.

Ini adalah suatu definisi yang terlalu cetek. Definisi ‘kerjaya’ yang sebenar berkait rapat dengan suatu istilah penting yang lain dalam kamus dunia pekerjaan, yang sebenarnya kurang kita dengar iaitu ‘legasi’. Legasi adalah sumbangan yang kita ingin sumbangkan kepada kerja, syarikat, industri, komuniti, dunia atau keluarga kita.

Sumbangan ini boleh jadi angan-angan yang besar yang mampu mengubah landskap dunia seperti mencipta sumber tenaga alternatif yang murah, atau cara pengangkutan baru yang lebih murah, atau cara pengeluaran yang lebih efisien.

Ia boleh jadi juga perkara yang kecil-kecil yang memberi kesan kepada keluarga, anak-anak atau masyarakat dan jiran tetangga seperti mengubah status keluarga, memikirkan cara meramaikan jemaah masjid dan sebagainya. Ada orang yang meringkaskan legasi ini sebagai peninggalan kita atau apa yang kita mahu orang ingat mengenai diri kita.

Perjalanan memiliki kerjaya bermula dengan suatu angan-angan atau cita-cita, dengan matlamat akhirnya adalah legasi yang kita mahu tinggalkan setelah kita pergi.

Lebih mudah bagi kita memikirkan cita-cita kita apabila kita bayangkan legasi yang kita mahu tinggalkan kepada anak-anak, keluarga, jiran tetangga, masyarakat, negara atau dunia. Dan apabila sudah ada cita-cita dan legasi di minda, bolehlah kita mula mengorak rancangan bagi mencapai cita-cita kita. Perjalanan inilah yang dipanggil kerjaya. Dan kesedaran mengenai Kerjaya ini sebenarnya boleh datang pada mana-mana tahap kehidupan kita, malah boleh bermula dari bangku sekolah lagi!

Sama-samalah kita fikirkan dan bentukkan di minda, legasi dan cita-cita yang hebat.

No comments:

Post a Comment