Thursday, August 12, 2010

Mengenali potensi diri

Menonton persembahan teater anak saya petang tadi membuatkan saya terfikir mengenai masa depan anak-anak ini.

Lebih seratus orang kanak-kanak tadika yang berusia 5 dan 6 tahun bertungkus-lumus memberikan persembahan terbaik kepada hadirin terhormat.

Kesemuanya kelihatan cukup ceria dan seronok melakonkan adegan-adegan dan melafazkan dialog yang walaupun memang sengaja dibuatkan lucu sedikit, tetapi tidak kurang kompikated berbanding persembahan teater remaja, malah juga teater dewasa.

Kami para hadirin teruja, berbangga, kagum dan tidak mampu berhenti tersenyum melihatkan gelagat anak-anak kecil ini yang bersungguh-sungguh mahu menghiburkan ibu bapa dan kaum keluarga mereka.

Saya merasakan antara pengajaran yang tidak terkira banyaknya yang mereka belajar daripada pengalaman ini, pasti yang paling utama adalah mencurahkan sepenuh semangat dan kesungguhan apabila melakukan sesuatu.

Memang pelik melihat bagaimana selain satu dua orang yang kelihatan sedikit nervous, yang lainnya begitu konfiden di atas pentas. Padahal sudah lama diiktiraf yang antara perkara yang paling ditakutkan manusia normal adalah berucap di khalayak ramai.

Mana mungkin dalam seratus orang hanya dua atau tiga orang sahaja yang takut berada di atas pentas. Kalau diikutkan kajian-kajian yang banyak dilakukan, sepatutnya rationya terbalik iaitu hanya satu atau dua orang sahaja yang sepatutnya berasa selesa di atas pentas. Ini adalah bukti jelas yang tidak ada perkara yang mustahil apabila kita berbicara mengenai potensi manusia.

Kanak-kanak yang tidak kenal erti ‘mustahil’ dan ‘tidak boleh’ cuma nampak di hadapan mereka, cabaran yang boleh diatasi selagi ada guru dan persekitaran yang sanggup menyokong dan membantu mereka mengatasinya.

Apabila kita ikhlas percaya yang mereka mempunyai potensi yang luar biasa. Nescaya mereka juga pasti percaya yang mereka mampu melakukan apa sahaja.

Oleh itu, jangan perlekehkan potensi anak-anak kita. Mereka mampu melakukan apa sahaja, menjadi apa sahaja; doktor pakar, artitek terhebat dunia, pereka fesyen, model, perdana menteri.

Jangan sekali-kali kita pandang cita-cita mereka dengan hanya sebelah mata. Lebih elok lagi kalau kita mampu tanamkan dalam minda mereka yang mereka patut ada cita-cita yang lebih besar dan hebat.

Beritahu mereka supaya jangan berpuas hati dengan cita-cita yang biasa sahaja. Pupuk mereka supaya menjadi yang terbaik dalam apa sahaja yang mereka mahu lakukan. Kalau hanya mahu menjadi ibu sekalipun biar jadi ‘supermom’ yang seperti sotong kurita yang banyak tangannya, mampu melakukan segalanya pada masa yang sama demi keluarga dan jiran tetangga.

Anak-anak saya sendiri hanya dua orang. Tetapi antara mereka berdua pernah dinyatakan hasrat mahu menjadi doktor haiwan, doktor gigi, arkitek, pelukis, tukang masak, penulis dan imam.

Apa yang penting mereka bukan setakat menyebutnya sahaja. Tetapi diikuti dengan membaca dan menonton rancangan, serta membuat latihan berkaitan yang mereka rasakan mampu membantu mereka mencapai cita-cita itu satu hari nanti.

Mereka ini baru berusia 5 dan 3 tahun, tetapi sudah ada begitu banyak koleksi cita-cita.

Saya berdoa supaya tidak berhenti mengumpul momentum dalam membina cita-cita mereka, dan lebih penting lagi terus mengenali dan mengembangkan potensi diri mereka yang sebenar.

Nukilan: Adlie Syamsudin

1 comment:

  1. http://www.facebook.com/home.php?#!/profile.php?id=572523113&v=wall&story_fbid=115220795202162
    >>
    "
    Tip bertukar pekerjaan: Tukar kerja apabila kita sudah mempunyai rancangan kehidupan yang lebih baik. Meskipun pekerjaan sekarang bagus dan kita menyukainya, namun disebabkan rancangan kita lebih bagus, maka kita tetap tukar pekerjaan. Jangan menukar pekerjaan disebabkan gangguan-gangguan sementara seperti kita berasa benci, marah, ataupun kecewa dengan pekerjaan sekarang.
    "

    ReplyDelete