Thursday, August 12, 2010

Memilih bidang kerja yang mahu diceburi

Ketika kecil kita pasti ditanya ibu bapa, keluarga dan guru, apa
cita-cita kita nanti. Mungkin lebih ramai yang tidak pasti, berbanding
yakin bidang apa yang mereka mahu ceburi ketika itu.

Dalam beratus orang yang saya kenal di sepanjang hidup saya, hanya
satu orang sahaja yang mampu mengaku dengan yakin yang dia sedang
melakukan kerja yang diimpikannya sewaktu kecil. Beliau seorang
editor, tetapi kebetulan pula ibunya juga bekas editor. Jadi tidak
mustahil beliau juga memiliki cita-cita mahu kerja seperti ibunya.

Saya yakin tidak ramai yang mampu menjawab begitu. Berapa ramai
penulis, usahawan, motivator, editor, polis, pekilang dan sebagainya
yang kita kenal asalnya dari bidang yang lain atau jurusan pengajian
yang lain? Mengapa? Kerana kita jarang sekali sedar bidang apa yang
kita mahu ceburi atau apa yang mahu kita capai dalam hidup kita
sewaktu di bangku sekolah atau kolej. Oleh sebab itu, terlalu ramai
yang mengambil jurusan pengajian yang kemudiannya dirasakan tidak
sesuai dengan jiwanya.

Saya sendiri mengambil jurusan pengajian dalam bidang pembinaan,
tetapi sesudah kolej sudah lebih 10 tahun terjerumus ke dalam bidang
penerbitan sehingga kini.

Saya percaya apa-apa bentuk ilmu pun pasti menguntungkan atau paling
tidak pun, tidak merugikan orang yang menimbanya. Tetapi bagaimanakah
caranya kita dapat kurangkan ‘membuang’ masa dalam bidang yang mungkin
tidak sesuai dengan jiwa kita?

Beberapa soalan di bawah mampu menunjukkan sama ada bidang yang kita
ceburi sekarang sesuai dengan jiwa kita ataupun tidak.

1. Apakah yang kita pandai atau berbakat semula jadi lakukan? Cuba
tanya ahli keluarga kita.

2. Apakah perjuangan atau isu yang kita rasa berada dekat dengan hati
kita? Boleh jadi ia alam sekitar, hidupan liar, manusia, institusi
keluarga, bandaraya kita, negara, agama dan sebagainya? Cuba fikirkan
dalam-dalam.

3. Apakah yang memang kita pandai lakukan dan orang lain memang kenal
kita sebagai ‘orang yang pandai….’? Contohnya berstrategi, mengira,
mengeja, menterjemah, berbahasa, membuka dan memasang semula alat dan
mesin, dan sebagainya. Ini menunjukkan bakat dan minat semula jadi
kita.

4. Apakah bidang yang kita minati? Adakah kerja atau pengajian kita
sekarang kita yang pilih atau dipilih untuk kita? Mungkin juga apa
yang ibu bapa atau sekolah kita pilih itu baik bagi kita. Tetapi lebih
baik kita semak dahulu apa rasional mereka.

Cuba jawab kesemua soalan di atas secara ikhlas. Kamu mungkin terkejut
dengan jawapan kamu sendiri. Sekiranya masih berkebolehan, eloklah
kita menyumbang dalam bidang yang sesuai dengan jiwa kita. Barulah
kita mampu mencurahkan seluruh jiwa raga kita ke arah memberikan
sumbangan yang terbaik.

Nukilan: Adlie Syamsudin

No comments:

Post a Comment