Sunday, August 15, 2010

Menulis Resume: Menyenaraikan Pengalaman

Tidak ramai yang yakin 100% dengan isi kandungan resume mereka. Eksekutif yang sudah tinggi kedudukannya pun boleh jadi buntu apabila disuruh merekodkan pencapaian mereka selama 10, 20 atau 40 tahun mereka berkhidmat.

Saya pernah berjumpa eksekutif yang ditimpa malang ketika krisis kewangan baru ini. Beliau terpaksa mencari kerja baru setelah berpuluh tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi di sebuah syarikat petroleum gergasi. Apabila mencatatkan pencapaiannya selama beliau berkhidmat di sana, kelihatan seperti beliau menjalankan tugas kerani sahaja selama ini. Padahal sudah puluhan tahun beliau menerima gaji lima angka oleh syarikatnya. Tidak mungkin itu sahaja sumbangannya.

Ini terjadi kerana beliau tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya dan oleh sebab itu tidak sedar apa sumbangan dan pencapaiannya.

Ada pula mereka yang berasa lebih tebal resume mereka, lebih baik. Jadi mereka berusaha sedaya upaya menebalkannya dengan mencatatkan segala rutin yang dilakukannya di pejabat, sehinggakan menulis surat dan membuat salinan repot pun dicatat juga. Adakah ini boleh dikira sebagai sumbangan yang bermakna?

Golongan ini sebenarnya cuba meyakinkan diri mereka sendiri yang mereka layak diberi gaji dan bukannya setakat memanaskan kerusi di pejabat semata-mata.

Secara asasnya, Ya, kita perlu ikhlas dalam menulis resume kita kerana kalau kita diambil bekerja atas sebab pembohongan dalam permohonan kerja, maka sudah tentu kesemua pendapatan yang kita peroleh sepanjang bertugas di situ pun dikira haram. Tetapi kita juga perlu pandai memilih apa yang mahu kita tonjolkan.

Tidak salah sekiranya kita memilih untuk tidak mencatatkan beberapa perkara atau tugas yang kita lakukan kerana keadaan memaksa atau yang tidak kita banggakan. Contohnya seperti pernah bekerja dalam bidang yang tidak relevan, ataupun episod di mana kita menganggur dan menyebabkan senarai pengalaman bekerja kita ‘kehilangan’ beberapa tahun.

Ini bukanlah suatu pembohongan, tetapi cuma tindakan memilih apa yang agaknya mahu dilihat bakal majikan dalam diri kita. Setiap orang adalah individu yang kompleks dan unik, dengan set bakat, minat dan pengalaman yang unik. Jadi, menyenaraipendek pengalaman yang dirasakan paling sesuai bagi jawatan yang dipohon, serta mungkin dicari oleh bakal majikan yang kita sasarkan adalah langkah yang bijak dan perlu. Pada peringkat ini, bakal majikan bukannya mahu mengenali calonnya, tetapi cuma mahu mencari orang yang memenuhi satu set keperluannya.

Dalam berpuluh atau beratus resume yang perlu dilihat bakal majikan kita, kita cuma memudahkan urusannya apabila kita mempersembahkan resume yang ringkas, padat dan menyenaraikan hanya set bakat dan pengalaman yang dicarinya dalam calon pekerja.

Resume ibarat iklan mengenai diri kita. Cuma iklan yang ringkas dan menarik serta memenuhi keperluan ‘pengguna’ sahaja yang lekat di kepala dan mendorong mereka ‘membeli’ apa yang kita ‘jual’, yakni bakat, pengalaman dan solusi unik yang mampu kita berikan.

No comments:

Post a Comment