Thursday, August 12, 2010

Membaca iklan kerja

Pada zaman canggih serba IT ini, mungkin ada antara kita yang tidak pernah pun mencari kerja melalui iklan surat khabar.

Sekarang semuanya dilakukan online sahaja. Daripada carian kerja sehinggalah permohonan kerja. Namun prinsip di sebalik carian kerja ini tetap sama iaitu kita perlu pandai ‘membaca’ apa yang dimahukan pengiklan, dan ‘membaca’ apa yang mungkin dimahukan pengiklan tetapi tidak dituliskannya.

Bahagian pertama itu tentu semua orang tahu. Akan tetapi yang membezakan antara calon pekerja biasa dengan calon pekerja yang diidamkan majikan adalah bahagian kedua iaitu mengagak apa yang mungkin dimahukan majikan.

Ini memerlukan kajian yang agak baik dan mendalam mengenai:

(a) jawatan yang dipohon, termasuk apa tanggungjawab biasa yang dijangkakan daripada pemegang jawatan tersebut;

(b) industri, termasuk cabaran-cabarannya;

(c) syarikat, termasuk cabaran, kelemahan dan kelebihannya berbanding pesaingnya.

Apabila sudah diselidik semua ini, kita dapat memikirkan apa yang mampu kita sumbangkan kepada syarikat, yang tidak mampu disumbangkan oleh calon pekerja yang lain.

Sumbangan inilah yang boleh kita ketengahkan dan tekankan di dalam resume serta surat permohonan kerja kita nanti. Lebih elok lagi kalau kita pernah ada pengalaman bagaimana mengatasi cabaran-cabaran yang serupa di syarikat yang lain.

Namun usahlah khuatir, walaupun tidak pernah ada pengalaman sebegini, kita masih mampu memberikan sumbangan yang unik kepada syarikat selagi ada kemahuan.

Apa yang penting, kita jangan sahaja pandai ‘menjual’ diri dan skil, tetapi juga harus ‘deliver’ apa yang dijanjikan andai kata diambil bekerja nanti.

Nukilan: Adlie Syamsudin

No comments:

Post a Comment